Tuesday, October 25, 2011

Teknik Peniaga Cina Memasuki Pasaran Kelantan

Rasa terpanggil pulak hari ini untuk menulis tentang bagaimana teknik para peniaga Cina untuk memasuki pasaran di negeri Cik Siti Wan Kembang ini yang majoritinya kaum Melayu. Sungguhpun majoriti orang Melayu kita menjadi peniaga, tidak bermakna kaum Cina tercicir dalam hal ini. Malah sebenarnya mereka inilah yang kebanyakannya menjadi pemborong besar dalam membekalkan barang-barang kepada peniaga-peniaga Melayu kita.

Secara kasarnya dapat dilihat bahawa kaum Cina lebih suka menjadi pemborong atau pembekal berbanding kaum Melayu kita yang suka menjadi peruncit. Ini mungkin disebabkan oleh kekuatan modal yang dimiliki oleh kedua-dua kaum. Kaum Cina sanggup membuat pelaburan besar di negeri ini kerana dikatakan bahawa kuasa beli di Kelantan adalah lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Antara teknik yang digunakan oleh kaum Cina ini ialah antaranya dengan mengeluarkan produk tertentu contohnya produk makanan dengan nama Melayu atau dengan menggunakan cap-cap yag melambangkan kemelayuan kita seperti kubah masjid dan sebagainya. Terdapat juga pasar raya yang diberi nama Pasar raya Bilal yang terletak berdekatan dengan masjid besar di Kubang Kerian. Jika orang dari luar Kelantan lihat, pasti mereka ingat ia adalah milik kariah masjid berdekatan. Walhal ia adalah milik kaum Cina sebenarnya. Jika anda ingin tahu,tapak pasar raya tersebut dahulunya adalah tapak sebuah kilang yang telah bertahun-tahun ditinggalkan dan menjadi semak-samun sebelum itu. Sungguh terang penglihatan mereka ini hinggakan orang Melayu tidak nampak keistimewaan yang ada pada tapak kilang lama itu.

Jika anda pergi ke mana-mana kedai roti pula, anda akan perhatikan ramai anak-anak gadis Melayu kita yang bekerja di sana. Mereka menguli, membakar, membuat kek dan biskut tetapi adakah anda tahu, bahawa kebanyakan kedai-kedai roti ini juga dimiliki oleh kaum Cina tetapi mengambil pekerja Melayu untuk melariskan jualan mereka. Jika kita kata "Boleh jumpa tauke ke?" Mesti yang keluar orang Melayu tapi tauke yang sebenarnya duk belakang kedai tak mahu dikenali oleh sesiapa.

Terdapat juga kedai-kedai makan Cina yang menggunakan pekerja Melayu dan mengambil tempahan makanan sama ada nasi dan gulai-gulai daripada orang Melayu sendiri untuk dijual di kedai makan mereka. Maknanya, kedai saja kepunyaan Cina tetapi di uruskan oleh orang Melayu kita. Kalau nak tahu, carilah kedai-kedai makan yang ada di sekitar Kota Bharu ini.

Begitulah lebih kurangnya serba sedikit info untuk dikongsi bersama... Lain kali kita cerita lagi deh?...

Saturday, October 22, 2011

Belajar Sampai Universiti, Bila Keluar Jadi Penjaja?


Waduh lama jugak enggak menulis dalam blog ini. Sejak kapan ya? Hmmm dekat sebulan jugak tidak ada entri baru... (cakap indon sikit he he..)

Tahukah anda bahawa setiap tahun negara kita berjaya "menerbitkan" ramai graduan dari universiti awam dan swasta dalam pelbagai bidang dan kepakaran? Jumlahnya mencecah ratusan ribu jika dicampur dari seluruh semenanjung dan Sabah Sarawak. Itu belum lagi yang keluar dengan diploma dan sijil dari kolej-kolej serta politeknik. Walaupun dikatakan tawaran pekerjaan yang menanti berjumlah puluhan ribu tetapi kebanyakannya hanyalah untuk kursus yang tertentu sahaja seperti kejururawatan, pendidikan, sedikit dalam bidang perakaunan dan kedoktoran juga teknikal. Keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan ramai graduan kita yang "tanam anggur" sahaja di rumah.

Saya dan kawan-kawan senasib di Kelantan ini pun menghadapi masalah yang sama. Sebagai contoh, jika kita bekerja di firma audit di Johor atau Kuala Lumpur, gaji yang diberi lebih kurang dalam RM1000 - RM1200 atau mungkin lebih sikit dari itu. Berbanding jika di Kelantan, gaji yang ditawarkan kebanyakannya hanyalah sekitar RM450 - RM700 walaupun mempunyai ijazah sarjana. Kalau yang masih bujang mungkin boleh hidup, tapi kalau yang dah berkeluarga.. nak makan apa dengan gaji sebanyak itu. Kan? Sebab itulah ramai anak muda yang berhijrah ke luar Kelantan dan ramai juga yang lebih suka berniaga sendiri.

Haruslah diingat bahawa 9/10 sumber rezeki adalah daripada perniagaan. Tidak kiralah anda berniaga apa sahaja asalkan ianya halal. Dan usahlah ibu bapa memandang rendah atau merasa malu kepada anak-anak bijak yang keluar universiti tetapi hanya bekerja sebagai peniaga atau penjaja. Sesungguhnya berniaga itu adalah mengikut sunnah Nabi kita Muhammad s.a.w. Dan kebanyakan orang Cina lebih mengikut sunnah Nabi ini berbanding orang Melayu yang suka sangat makan gaji walaupun gajinya tak seberapa. Kenapa ya?

Baru-baru ini saya bertemu dengan dua anak muda yang baru "grad" dari universiti yang berlainan. Mulanya nampak malu-malu kerana belum biasa berniaga di tepi jalan. Mukanya, muka orang cerdik. Katanya oleh kerana susah mencari pekerjaan di Kelantan, dia bercadang membuka gerai cendol pulut tapai di tepi jalan. Yang seorang lagi menjual makanan bergoreng dan minuman di tepi sebuah sekolah. Kalau dicongak-congak, pendapatan yang diperoleh melebihi gaji mereka yang bekerja di pejabat hatta cikgu-cikgu yang mengajar di sekolah itu juga.

Menjadi sebahagian daripada warga penjaja pasar malam juga merupakan langkah yang diambil kebanyakan anak muda seperti ini. Jika diperhatikan, jika sepuluh tahun lalu Cik Mat mula menjual mee goreng di satu tapak pasar malam, sampai sekarang dia masih berniaga di tapak yang sama dan jarang sekali kalau dah masuk pasar malam, mereka ini akan cepat tutup kedai. Manakan tidak, kalau dah sehari pendapatan bersih boleh mencapai RM200-RM300, takkan nak tutup. Memang betullah kata Dato' Dr. Rusly Abdullah (Chef Li)dalam bukunya, "Biar kecil asalkan berhasil, daripada besar akhirnya bubar."

Apapun, tahniah kepada graduan yang berani menjadi usahawan. Kalau jadi penjaja, jadilah penjaja yang berwawasan tinggi. Usah malu usah segan, kita berhak menentukan tujuan dan arah hidup kita. Sentiasalah belajar dari orang yang berpengalaman kerana ia adalah salah satu cara untuk kita cepat berada di atas....

...Berapa ramai pelajar kita yang ambil degree atau master dalam pengurusan perniagaan tapi tak minat langsung nak berniaga apa lagi jadi usahawan. Ramai antara mereka yang fikir kalau dah keluar U nanti nak jadi cikgu nak jadi cikgu, nak jadi cikgu nak jadi cikgu...