Tuesday, December 13, 2011

Kisah Tok Peraih Dan TEMAN Barunya...





Seronok dengar cerita seorang tok peraih ni. Orang Kelantan menggelarkan para peniaga ikan dan sayur yang menggunakan motor atau van ini sebagai tok peraih. Lebih kurang pukul 11.00 - 12.00 tengah hari mesti peraih ni sampai dengan vannya yang penuh dengan ikan, ayam, sayur dan bermacam jenis makanan ringan seperti keropok dan kuih-muih. Kekadang tu nasi bungkus pun ada jual sekali. Dia akan 'parking' dekat pokok besar bersebelahan dengan kedai makan seorang peniaga. Orangnya muda lagi, lebih kurang dalam akhir 30an begitulah kira-kiranya.

Katanya paling koman barang yang perlu diisi dalam vannya itu memakan modal lebih kurang dalam RM1000. Kekadang kalau penuh barang, kena keluar modal sampai RM3000. Itu baru modal. Untungnya pulak? Mestilah lebih dari harga modal kan? Katanya dia tak belajar tinggi pun. Nak mengira pun tak reti mana. Kalau ikan selayang hari ni harganya RM6.00 sekilo, dia tibai ikan-ikan lain pun RM6.00 sekilo jugak. Katanya senang nak kira. Tapi kalau kembung tu... mahal sikitlah harganya.

'Style' tok peraih berniaga... kena pakai baju buruk-buruk aje. Tak payah pakai comel sebab nanti bau ikan dan sayur jugak. Biar nampak macam tak berduit tapi... dalam poket penuh entah berapa ribu sehari dapat. Di Kelantan ini sekalipun ramai peniaga Melayu, tapi masih ramai yang kurang berminat dengan cara penjajaan. Kebiasaan yang menjadi penjaja terdiri daripada ramai orang siam (thai) yang masuk ke Kelantan. Ramai orang melayu siam yang menjaja ais krim, sate ikan, colek buah dan sebagainya bisa membina rumah besar bila balik ke negara asal mereka setelah 5 atau 6 tahun berjaja di Kelantan ini.


Berbalik cerita TEMAN baru tok peraih ini sebenarnya... TEMAN adalah satu nama tempat di mana bertemunya para pemborong dengan peruncit untuk mendapatkan bekalan ikan dan daging, sayur-sayuran serta buah-buahan yang masih segar pada harga yang sangat murah. TEMAN adalah singkatan kepada Terminal Agribisnes Negara yang terletak di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan. TEMAN telah mula beroperasi dalam pertengahan tahun 2011 lagi. Waktu operasinya adalah seawal 2.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Sungguh luas kawasan terminal tersebut dan saya tak tahu berapa ekar keluasannya.

Ramai para peniaga melayu kita di sana yang berniaga. Orang siam pun ramai juga. Yang peliknya, dalam ramai-ramai peniaga melayu kita, hanya seorang cina saja yang menjual tauhu. Orang melayu semua pakat beli tempat dia... Mana tauhu orang muslim? Mana tauhu orang muslim Kelantan? Tak ada pun... Hairan bin ajaib... Orang kita ramai yang boleh buat air soya dan taufufah, takkan tak boleh buat tauhu? Diaorang tu kekadang bukannya bersih kalau buat produk. Kadang tu buat sambil pakai singlet dan seluar pendek saja. Tempat pun bukannya bersih sangat...

Harapnya lepas ni ada usaha dari mana-mana pihak atau individu muslim kita di Kelantan yang akan mengusahakan produk tersebut... mohon sangat-sangat deh? Rasanya hari Jumaat ni nak pergi ke sanalah, nak cari tapak bagus untuk jual roti john... Hmmm....

... Makcik yang dalam gambar tu berniaga di tapak TEMAN, manakala peraih di sebelahnya membeli barang di TEMAN dan berjaja dengan van keliling kampung di kawasan saya.

Monday, November 7, 2011

MENTALITI ORANG PENCEN KALAU BUAT BISNES...

Bertemu kembali semua... Lama tak berblogging. Bukannya apa, sibuk sikit akhir-akhir ni. Bukan setakat sibuk dengan berniaga, tapi juga dengan kenduri kahwin saudara mara dan menghadiri kenduri arwah sana sini. Lepas ni pulak nak buat majlis sikit sempena anak lelakiku seorang yang akan berkhatan dalam seminggu dua lagi... Semoga semuanya berjalan lancar. Amin...

Dekat hujung-hujung tahun begini juga, pastinya ramai yang akan "menamatkan zaman pekerjaan makan gaji" mereka. Orang makan gaji tak apa, dah tak kerja pun pencen masih tetap jalan. Tapi kalau orang kerja sendiri ibarat kais pagi makan pagi, tak kais petang tak boleh makan malamlah jawabnya. Mereka yang pencen ni bukan setakat kerja kerani atau peon. Yang berpangkat pengurus, sarjan, koperal, menteri, cikgu dan hatta perdana menteri pun akan melalui zaman pencen.

Di kalangan sedara mara saya sendiri pun ada tiga empat orang yang sudah pencen. Oleh kerana puas (bosan) duduk di rumah tanpa buat apa-apa kerja, maka ramailah di antara mereka yang pencen ini berangan-angan nak berniaga. Pada mereka, "daripada puas duduk saja, baik berniaga." Inilah satu mentaliti orang pencen yang biasa saya dengar sendiri. Bagi seorang usahawan, perniagaan adalah komitmen yang perlu difokuskan seratus peratus, bukan setakat puas duduk saja. Siang malam kena bertungkus lumus, bersengkang mata macam mana nak merancang itu dan ini. Tapi bagi orang pencen, tak perlu susah-susah... suruh saja sedara mara atau anak cucu tolong jaga kedai. Akhir bulan, kita bayar gaji. Lagipun bisnes untung sikit-sikit pun tak apa, duit pencen kan ada....

Bagi mereka yang dulunya berjawatan tinggi, takde "classlah" kalau setakat berniaga cikai-cikai macam peniaga pasar malam atau pasar tani... Duit banyak, kenalah buka kedai atau syarikat yang grand-grand sikit. Bolehlah nak tunjuk kat kawan-kawan kat ofis dulu dan sedara-mara sendiri... baru gempak sikit. Kan? Tapi bila umur dah 57 atau 58 tahun, hai... macam-macam penyakit pulak yang datang. Kencing manislah, darah tinggilah, sakit jantunglah... mana ada kudrat nak urus semua tu. Bila dah terlantar kat hospital, macam-macam nak kena fikir. Jadi ke bisnes aku ni? Kalau takat bisnes kecil-kecil oklah juga kalau nak tutup sementara. Ini dah ada kilang, pekerja pulak ramai, kalau ada sakit jantung tu boleh "off" cepatlah jawabnya.

Begitulah lumrah hidup manusia jika mahu dipandang tinggi oleh sesiapa. Tapi bagi usahawan sejati nak jaga "style" dalam berniaga, itu bukan prinsip yang utama. Kalau kita tengok ramai tauke-tauke cina kalau masuk bank, pakai baju pagoda dan berseluar pendek. Kocek penuh duit beribu-ribu untuk disimpan dalam akaun. Naik pulak basikal atau motosikal. Selamba aje... tak suka menunjuk-nunjuk macam kita orang melayu. Itu kebanyakan prinsip orang cina. Katanya jangan tunjuk yang kita ni banyak duit... bahaya.

Senario ni bukan takat berlaku kat Kelantan saja. Kat negeri orang putih pun macam tulah jugak lebih kurangnya. Oklah setakat ni dulu. Lain kali tulis lagi... Salam maal hijrah...

Tuesday, October 25, 2011

Teknik Peniaga Cina Memasuki Pasaran Kelantan

Rasa terpanggil pulak hari ini untuk menulis tentang bagaimana teknik para peniaga Cina untuk memasuki pasaran di negeri Cik Siti Wan Kembang ini yang majoritinya kaum Melayu. Sungguhpun majoriti orang Melayu kita menjadi peniaga, tidak bermakna kaum Cina tercicir dalam hal ini. Malah sebenarnya mereka inilah yang kebanyakannya menjadi pemborong besar dalam membekalkan barang-barang kepada peniaga-peniaga Melayu kita.

Secara kasarnya dapat dilihat bahawa kaum Cina lebih suka menjadi pemborong atau pembekal berbanding kaum Melayu kita yang suka menjadi peruncit. Ini mungkin disebabkan oleh kekuatan modal yang dimiliki oleh kedua-dua kaum. Kaum Cina sanggup membuat pelaburan besar di negeri ini kerana dikatakan bahawa kuasa beli di Kelantan adalah lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Antara teknik yang digunakan oleh kaum Cina ini ialah antaranya dengan mengeluarkan produk tertentu contohnya produk makanan dengan nama Melayu atau dengan menggunakan cap-cap yag melambangkan kemelayuan kita seperti kubah masjid dan sebagainya. Terdapat juga pasar raya yang diberi nama Pasar raya Bilal yang terletak berdekatan dengan masjid besar di Kubang Kerian. Jika orang dari luar Kelantan lihat, pasti mereka ingat ia adalah milik kariah masjid berdekatan. Walhal ia adalah milik kaum Cina sebenarnya. Jika anda ingin tahu,tapak pasar raya tersebut dahulunya adalah tapak sebuah kilang yang telah bertahun-tahun ditinggalkan dan menjadi semak-samun sebelum itu. Sungguh terang penglihatan mereka ini hinggakan orang Melayu tidak nampak keistimewaan yang ada pada tapak kilang lama itu.

Jika anda pergi ke mana-mana kedai roti pula, anda akan perhatikan ramai anak-anak gadis Melayu kita yang bekerja di sana. Mereka menguli, membakar, membuat kek dan biskut tetapi adakah anda tahu, bahawa kebanyakan kedai-kedai roti ini juga dimiliki oleh kaum Cina tetapi mengambil pekerja Melayu untuk melariskan jualan mereka. Jika kita kata "Boleh jumpa tauke ke?" Mesti yang keluar orang Melayu tapi tauke yang sebenarnya duk belakang kedai tak mahu dikenali oleh sesiapa.

Terdapat juga kedai-kedai makan Cina yang menggunakan pekerja Melayu dan mengambil tempahan makanan sama ada nasi dan gulai-gulai daripada orang Melayu sendiri untuk dijual di kedai makan mereka. Maknanya, kedai saja kepunyaan Cina tetapi di uruskan oleh orang Melayu kita. Kalau nak tahu, carilah kedai-kedai makan yang ada di sekitar Kota Bharu ini.

Begitulah lebih kurangnya serba sedikit info untuk dikongsi bersama... Lain kali kita cerita lagi deh?...

Saturday, October 22, 2011

Belajar Sampai Universiti, Bila Keluar Jadi Penjaja?


Waduh lama jugak enggak menulis dalam blog ini. Sejak kapan ya? Hmmm dekat sebulan jugak tidak ada entri baru... (cakap indon sikit he he..)

Tahukah anda bahawa setiap tahun negara kita berjaya "menerbitkan" ramai graduan dari universiti awam dan swasta dalam pelbagai bidang dan kepakaran? Jumlahnya mencecah ratusan ribu jika dicampur dari seluruh semenanjung dan Sabah Sarawak. Itu belum lagi yang keluar dengan diploma dan sijil dari kolej-kolej serta politeknik. Walaupun dikatakan tawaran pekerjaan yang menanti berjumlah puluhan ribu tetapi kebanyakannya hanyalah untuk kursus yang tertentu sahaja seperti kejururawatan, pendidikan, sedikit dalam bidang perakaunan dan kedoktoran juga teknikal. Keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan ramai graduan kita yang "tanam anggur" sahaja di rumah.

Saya dan kawan-kawan senasib di Kelantan ini pun menghadapi masalah yang sama. Sebagai contoh, jika kita bekerja di firma audit di Johor atau Kuala Lumpur, gaji yang diberi lebih kurang dalam RM1000 - RM1200 atau mungkin lebih sikit dari itu. Berbanding jika di Kelantan, gaji yang ditawarkan kebanyakannya hanyalah sekitar RM450 - RM700 walaupun mempunyai ijazah sarjana. Kalau yang masih bujang mungkin boleh hidup, tapi kalau yang dah berkeluarga.. nak makan apa dengan gaji sebanyak itu. Kan? Sebab itulah ramai anak muda yang berhijrah ke luar Kelantan dan ramai juga yang lebih suka berniaga sendiri.

Haruslah diingat bahawa 9/10 sumber rezeki adalah daripada perniagaan. Tidak kiralah anda berniaga apa sahaja asalkan ianya halal. Dan usahlah ibu bapa memandang rendah atau merasa malu kepada anak-anak bijak yang keluar universiti tetapi hanya bekerja sebagai peniaga atau penjaja. Sesungguhnya berniaga itu adalah mengikut sunnah Nabi kita Muhammad s.a.w. Dan kebanyakan orang Cina lebih mengikut sunnah Nabi ini berbanding orang Melayu yang suka sangat makan gaji walaupun gajinya tak seberapa. Kenapa ya?

Baru-baru ini saya bertemu dengan dua anak muda yang baru "grad" dari universiti yang berlainan. Mulanya nampak malu-malu kerana belum biasa berniaga di tepi jalan. Mukanya, muka orang cerdik. Katanya oleh kerana susah mencari pekerjaan di Kelantan, dia bercadang membuka gerai cendol pulut tapai di tepi jalan. Yang seorang lagi menjual makanan bergoreng dan minuman di tepi sebuah sekolah. Kalau dicongak-congak, pendapatan yang diperoleh melebihi gaji mereka yang bekerja di pejabat hatta cikgu-cikgu yang mengajar di sekolah itu juga.

Menjadi sebahagian daripada warga penjaja pasar malam juga merupakan langkah yang diambil kebanyakan anak muda seperti ini. Jika diperhatikan, jika sepuluh tahun lalu Cik Mat mula menjual mee goreng di satu tapak pasar malam, sampai sekarang dia masih berniaga di tapak yang sama dan jarang sekali kalau dah masuk pasar malam, mereka ini akan cepat tutup kedai. Manakan tidak, kalau dah sehari pendapatan bersih boleh mencapai RM200-RM300, takkan nak tutup. Memang betullah kata Dato' Dr. Rusly Abdullah (Chef Li)dalam bukunya, "Biar kecil asalkan berhasil, daripada besar akhirnya bubar."

Apapun, tahniah kepada graduan yang berani menjadi usahawan. Kalau jadi penjaja, jadilah penjaja yang berwawasan tinggi. Usah malu usah segan, kita berhak menentukan tujuan dan arah hidup kita. Sentiasalah belajar dari orang yang berpengalaman kerana ia adalah salah satu cara untuk kita cepat berada di atas....

...Berapa ramai pelajar kita yang ambil degree atau master dalam pengurusan perniagaan tapi tak minat langsung nak berniaga apa lagi jadi usahawan. Ramai antara mereka yang fikir kalau dah keluar U nanti nak jadi cikgu nak jadi cikgu, nak jadi cikgu nak jadi cikgu...

Friday, September 9, 2011

Cara Mengaplikasi Seni Perang (Sun Tzu-The Art of War) Dalam Dunia Bisnes



Sudah lama buku bertajuk "The Art of War" dibeli dan terperuk dalam rak buku. Buku setebal 375 mukasurat beserta dengan indexnya itu ditulis dalam bahasa Inggeris. Sudah banyak kali dibelek, dibaca dan diterjemah sendiri satu persatu tapi al-maklumlah dengan gaya bahasanya yang agak tinggi agak sukar juga untuk memahaminya. Sehinggalah baru-baru ini terjumpa blog Rain Wonder yang menterjemah buku tersebut mengikut bab. Sukanya hati bukan kepalang kerana ada juga insan yang berupaya menterjemahnya dengan baik. Saya suka meletakkan blognya ke dalam 'blog list' saya.

Tahukah anda, mengapa buku ini sangat penting bagi kebanyakan bangsa Cina untuk diaplikasikan dalam bisnes mereka sedangkan buku ini hanya menceritakan tentang seni peperangan dari pelbagai dinasti? Apakah kaitannya dengan dunia bisnes mereka? Sekiranya anda membaca buku ini hingga habispun anda tak akan faham kaitan antara peperangan dan dunia perniagaan sebenar sehinggalah kita memahami konsep dan istilah yang digunakan dihubungkaitkan antara perang dan bisnes.

Apa yang ingin dikongsikan di sini ialah kita harus faham dengan jelas bahawa apabila anda mula memasuki dunia perniagaan, anda sebenarnya mula memasuki satu medan peperangan. Tidak kiralah sama ada anda berperang seorang diri, dengan beberapa orang tentera atau dengan beberapa ratus orang tentera. Kaedahnya adalah sama iaitu anda perlu ada senjata yang cukup, strategi yang kemas, tentera yang berani dan setia serta pegawai atasan yang bijak dan menurut arahan. Semuanya ini adalah perkara penting bagi mencapai satu matlamat yang telah ditetapkan oleh pihak atasan.

Oleh itu, jika anda ingin memanfaatkan ilmu dalam "The Art of War", fahamkan istilah ini dan aplikasikan dalam bisnes anda.

1. Medan peperangan = Dunia perniagaan
2. Senjata = Produk atau servis
3. Strategi perang = Strategi bisnes
4. Tentera = Para pekerja
5. Musuh perang = Pesaing dalam bisnes

Demikianlah serba sedikit pengetahuan yang dapat dikongsi bersama. Andai ada lagi penambahan maklumat dari anda, sudilah kiranya untuk ditulis diruangan 'comment'.

Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri Cina ataupun dari "orangnya" yang ada di negara kita ini tapi ambillah yang baik-baik sahaja, yang tidak baik kenalah diabaikan...

Tuesday, September 6, 2011

Mak Oii! Banyaknya Homestay...!


Salam Aidilfitri semua... Masih ada lagi saki-baki kuih raya? Kalau tak habis, usah membazir... simpan dulu sehingga raya Haji nanti. Barang boleh tahan lama dan tak mudah basi, apa salahnya disimpan lagi. Kan? Biasanya orang Kelantan di sini, selain menyambut Aidilfitri setelah sebulan berpuasa, mereka akan menyambut raya yang kedua iaitu selepas habis puasa enam hari di bulan Syawal. Siap buat rumah terbuka dan panggil saudara-mara lagi. Macam-macam juadah dihidangkan. Kekadang ada yang buat nasi minyak, nasi dagang, nasi hujan panas, nasi himpit, kuih-muih dan macam-macam lagilah.

Sempena menyambut sebulan Syawal ini juga, tidak kurang yang mengadakan majlis kenduri-kendara dan menyambut menantu. Maka mana-mana pasangan yang mendapat jodohnya di luar dari negeri Kelantan ini, adalah menjadi kebiasaan akan menginap sehari dua di sini bersama rombongan di rumah-rumah tumpangan yang berdekatan. Bagi mereka yang sudah biasa ke sini, mereka akan mendapati tidak susah untuk mencari rumah penginapan seperti "guesthouse" atau "homestay". Sebagai contoh di Kubang Kerian ini sahaja, anda akan dapati sepanjang laluan anda untuk ke USM atau ke Kota Bharu, ada sahaja papan tanda "homestay" atau "guesthouse" di kiri kanan jalan. Anda boleh pilih mana satu yang berkenan di hati. Kalau nak dikira, mungkin lebih dari dua puluh rumah tumpangan yang ada di sini. Itu belum termasuk hotel-hotel bajet yang murah yang kebanyakannya mengambil tempat di dalam bangunan-bangunan kedai dua tingkat.

Oleh kerana kebanyakan warga Kelantan ini suka berhijrah dan berdagang ke negeri-negeri luar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan sebagainya maka banyaklah terdapat rumah-rumah di kampung halaman mereka yang terbiar dan tidak berpenghuni. Maka bagi memanfaatkan rumah warisan yang ada, mereka mengambil peluang dengan memperbaiki dan menghias semula rumah tersebut untuk dijadikan rumah tumpangan. Rumah tumpangan yang lengkap biasanya menyediakan katil dan tilam yang cukup, alat elektrik asas seperti cerek elektrik, mesin basuh, peti sejuk dan TV. Ada juga yang baik hati menyediakan kopi atau teh serta gula di ruang dapurnya. Berbanding memberi sewa secara bulanan, menyewakan rumah secara harian didapati lebih menguntungkan. Berikut antara kelebihan apabila rumah anda dijadikan "homestay":-

1. Sewa "homestay" sehari biasanya antara RM 100 - RM 300. Berbanding dengan sewa rumah sebulan RM 350.

2. Kita masih bebas keluar masuk rumah "homestay" kita bila-bila masa berbanding jika kita menyewakan pada orang lain secara bulanan (mesti kita tak boleh nak mengintai walau sikit pun...)

3. Risiko penyewa "homestay" untuk tidak membayar sewa adalah rendah berbanding penyewa rumah yang selalu kita dengar tak boleh nak bayar kadang tu sampa tiga bulan. Padahal sewa sebulan cuma RM300.

4. Walaupun kemungkinan hanya tiga orang sahaja yang akan menyewa "homestay" kita dalam sebulan, jika sewa yang kita kenakan RM150, maka jadinya (RM 150 X 3) = RM 450.00. Ini sudah dikira untung dan semestinya sudah terbayar bil elektrik dan air yang digunakan cuma tiga hari sahaja oleh tiga orang penyewa tadi.

5. Risiko kerosakan rumah "homestay" adalah rendah. Contohnya risiko diconteng, buat pendawaian haram, memaku dinding, menampal gambar dan sebagainya. Berbanding jika rumah disewa secara bulan-bulan, mesti ada paku sana, paku sini, conteng sana, conteng sini...

Itulah antara kelebihan jika anda ada "homestay". Walaupun anda perlu mengeluarkan modal yang lebih untuk permulaan, tetapi hasilnya lebih memuaskan dan menguntungkan berbanding memberi sewa secara bulan-bulan. Tapi kalau dah semua rumah sewa tu jadi "homestay", mesti banyak pulak persaingannya kan?

Ada "homestay" yang letaknya di hujung-hujung kampung. Lagi seronok kalau dapat pergi kat situ. Dapat dengar kicauan burung, duduk rumah kampung, siap boleh buat perkhemahan lagi. Kelassss gitu...

Sunday, August 28, 2011

UJIAN OH! UJIAN...




Bertemu kembali semua... Tinggal sehari dua lagi nak raya, tapi saya masih lagi berkesempatan untuk menulis. Maklumlah dulu ada juga pasang cita-cita untuk jadi penulis novel atau cerpen, tapi tidak termakbul. Namun begitu, menjadi salah seorang dari jutaan penulis blog di alam maya ini sudah cukup memberi keseronokan kepada saya untuk berkongsi penulisan dengan anda semua.

Hari ini hari terakhir saya berniaga di bazar Ramadhan. Walaupun masih ada sehari lagi peluang berniaga sebelum hari raya, kami "off" lebih awal untuk membuat persiapan raya. Khabarnya lebih kurang separuh dari 160 tapak gerai dijangkakan kosong esok hari. Masing-masing ada perancangan sendiri... Nak balik kampunglah, nak buat kuihlah, nak beli itu dan inilah, macam-macam lagilah....

Hari ini sahaja suku dari tapak gerai sudah ditutup. Sebaik kami sampai ke tapak bazar, langit mula "memendungkan" dirinya dengan semendung-mendungnya. Gelap macam nak malam walaupun masa tu baru je pukul 4.00 petang. Sebaik sahaja beberapa pembeli dari gerai kami beredar, hujan lebat bercampur ribut pun turun. Masing-masing peniaga merendahkan payung mereka dan memegang kemas batang khemah masing-masing kerana takut diterbangkan angin kuat. Detik cemas itu benar-benar menguji keimanan kami. Takut tragedi yang pernah berlaku di tempat lain yang meragut nyawa terjadi hari ini. Mulut terkumat-kamit memanjat doa pada Ilahi moga ianya berakhir dengan baik.

Hujan ribut melanda lebih kurang 10 - 15 minit. Para pembeli melarikan diri mencari perlindungan di tepi-tepi bangunan berhampiran sambil memerhatikan kami yang kelam-kabut berlindung di bawah payung dan khemah masing-masing. Malang tidak berbau... ada juga payung dan khemah peniaga lain yang tidak sempat dipegang diterbangkan angin kuat. Habis makanan yang baru dimasak dan diatur di atas meja jatuh tumpah dan bertaburan ke tanah. Seorang pembantu gerai tersebut tersimbah minyak panas di kakinya. Kami simpati melihatkan nasib peniaga terbabit. Sebaik sahaja hujan beransur reda, saya menghampiri peniaga wanita tersebut dan memulangkan tong airnya yang terbang ke gerai saya. Katanya, nak buat macam mana, dah bukan rezeki dia hari itu (sambil mengemas semua barang-barangnya ke dalam kereta untuk pulang). Tanpa sedikit pun rasa putus asa, katanya esok dia tetap akan meneruskan perniagaannya semula. Tabahnya dia demi mencari rezeki untuk anak-anak dan keluarga. Adakah aku mampu setabah dirinya....? Moga-moga begitulah.... Amin...

Namun sebaik sahaja hujan berhenti, para pembeli mula turun semula dan datang tidak putus-putus untuk membeli juadah berbuka puasa. Penebar murtabak kami tidak henti-henti menebar. Boleh dikatakan kebanyakan gerai habis licin jualan mereka hari itu. Seronok campur letih campur syukur pada Ilahi yang telah memudahkan setiap urusan kami.

"Sesungguhnya bersama kesulitan datang kelapangan. Sesungguhnya bersama kesulitan datang keringanan." (Surah al-Insyirah ayat 5 - 6)

Nota : Gambar di atas adalah situasi yang berlaku di kawasan lain. Saya tak dapat nak ambil gambar kejadian hari ini kerana tertinggal kamera.

Wednesday, August 24, 2011

SELAMAT HARI RAYA - SELAMAT HARI MERDEKA - SELAMAT PENGANTIN BARU - SELAMAT BERCUTI




Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua saudara-mara dan sahabat handai yang dikasihi. Kepada embah buyut, embah-embah di kampung, wak-wak, emak dan adik-beradik, sepupu-sepapat... "Njalok ngapuro seng akeh-akeh yo, ono salah dan silap." Juga kepada para pelawat yang sering bertamu di laman saya... :)

Selamat menyambut hari kemerdekaan negara kita yang ke-54. Jagalah negara kita kerana ia adalah tanggungjawab kita bersama... bukan tanggungjawab orang indon, bangla dan para pendatang asing yang lain... :)

Selamat Pengantin Baru kepada insan-insan yang bakal bertemu jodoh di hari lebaran ini. Semoga kebahagiaan berkekalan hingga ke akhir hayat... Sesungguhnya "kesabaran" itu adalah tunjang utama dalam keharmonian sesebuah rumahtangga... :)

Tidak lupa juga kepada adik-adik yang masih menuntut, selamat bercuti... Berhari rayalah dengan ziarah menziarahi rumah sahabat handai dan taulan. Jangan dok beraya depan TV dan main game komputer sahaja... :)

Sunday, August 14, 2011

Cerita : Idea-idea Perniagaan Yang Menarik


Kali ini, saya ingin berkongsi cerita tentang beberapa idea bisnes yang boleh dijadikan contoh untuk kita semua...
Cerita 1:

Ini kisah Mak Som seorang penjaja. Umurnya lebih kurang dalam 50an. Beliau masih gagah ke sana ke mari berjalan kaki keliling kampung sambil membawa sebuah bakul yang penuh berisi bermacam jenis kuih dan lauk yang siap dibungkus untuk dijual. Ada solok lada, acar timun, acar pisang, wajik, onde-onde dan ketupat palas. Semuanya dibuat sendiri dan produknya sememangnya boleh dipuji. Dalam seminggu, dua atau tiga kali saya pasti akan bertemu dengannya. Sudah banyak tahun juga dia menjadi penjaja. Katanya dia akan membawa lebih kurang 50 bungkus jualan sahaja untuk sehari dan setiap satu akan dijual dengan harga RM2.00.

Ini bermakna Mak Som akan mendapat hasil jualan sebanyak RM100 jika semuanya habis dijual. Katanya lagi dengan hasil jualan sebanyak itu, dia dapat keuntungan bersih setelah ditolak modal sebanyak RM50. Dengan usaha gigihnya itu juga katanya dia berupaya membelikan dua buah motosikal untuk anak-anaknya. Dia juga berupaya untuk membayar balik duit yang dipinjam dari Amanah Ikhtiar setiap minggu. Sehinggakan suaminya sendiri terkejut dengan apa yang diusahakan oleh isterinya itu...

Cerita 2:

Ini pula kisah Kak Mah yang sangat saya kagumi. Dia bagaikan seorang sifu pada saya. Sejak kecil lagi dia telah didedahkan dengan dunia perniagaan oleh keluarganya. Pernah suatu masa, ketika itu umurnya dalam 11 tahun. Perniagaan kedai makan keluarganya ketiadaan tukang masak. Jadi bagi meneruskan juga perniagaan hari itu, Kak Mah diminta untuk memasak (masakan panas) untuk para pelanggan. Perasaan cemas dan berdebar bercampur baur. Maklumlah tidak mempunyai pengalaman memasak untuk orang lain, tapi kalau setakat untuk makan sendiri memang tidak ada masalah.

Hendak dijadikan cerita, masakan Kak Mah dapat diterima pelanggan. Nasib baik dia masak di dapur belakang. Kalau masak di depan kedai, pasti orang tak mahu makan katanya. Sehingga kini, Kak Mah sudah mempunyai pengalaman berniaga lebih kurang 20 tahun lebih. Dia mempunyai kepakaran dalam banyak bidang. Sama ada masakan panas, nasi campur, makanan sejuk beku (frozen food), pembuatan kek dan biskut, pembuatan coklat, roti jala, popiah basah, bidang jahitan baju dan langsir juga sulaman manik. Sekarang ini, dia menghadiri beberapa kursus untuk membolehkannya menjadi sebahagian dari tenaga pengajar yang bertauliah. Tabiklah kat Kak Mah...

Cerita 3:

Ini pula kisah seorang peniaga yang saya namakan En. A. (sebab tak tau namanya). Dia seorang lulusan diploma dari sebuah IPTA. Dahulunya pernah bekerja di ibu kota Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun, oleh kerana tidak dapat bertahan lama dengan masalah sosial di sana, dia kemudian kembali ke kampung halaman dan mengusahakan perniagaan dari rumah sahaja. Nak tau apa yang diusahakannya? Dia telah menghasilkan produk "garam kunyit" yang lain dari yang lain dan diedarkan kemerata kedai runcit selain kawasan sekitar. Garam kunyit yang dihasilkan sesuai untuk perapan ayam atau ikan sebelum digoreng. Bahan lain yang digunakan ialah halia dan serai serta beberapa bahan lain.

Kini dia masih meneruskan perniagaannya itu. Ramai lagi orang-orang kampung di sekitar kawasan saya ini yang berniaga dari rumah. Ada yang mengusahakan serunding ikan dan daging, ada yang meyewakan khemah kanopi untuk majlis-majlis, ada yang membuat kek coklat, ada yang menjadi pelukis batik, ada yang menjual popiah mini, ada yang menjadi tukang besi dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, kalau mana-mana graduan yang tak dapat kerja makan gaji, banyak bidang bisnes yang boleh kita ceburi, asalkan sahaja ada usaha, sedikit modal dan sokongan padu dari keluarga terdekat (amat-amat diperlukan).

Hari esok, seorang kawan memerlukan tenaga kami untuk urusan katering dengan pihak USM. Katanya inilah projek pertamanya yang terbesar kerana perlu menyediakan masakan untuk 300 orang staf di sana. Biasanya projek yang pertama akan menjadi penentu untuk mendapat peluang yang kedua. Apa-apa pun didoakan "SEMOGA BERJAYA". He he...

Saturday, August 6, 2011

Bazar Ramadhan Kembali Lagi...!


Alhamdulillah bertemu juga kita dengan Ramadhan al-Mubarak 1432H. Semoga terus dipanjangkan umur untuk sampai ke penghujung bulan mulia ini. Pengalaman pertama berniaga di bazar Ramadhan sangat menyeronokkan. Walaupun tahun ini yuran tapak bazar rata-ratanya telah meningkat berbanding tahun lepas, namun begitu ia tidak menjadi halangan bagi para peniaga untuk mendapatkan tapak masing-masing.

Ada lebih kurang 160 tapak gerai disediakan oleh pihak penganjur di kawasan saya. Pada hari pertama, kebanyakan tapak gerai boleh dikatakan penuh dengan peniaga yang menjual bermacam-macam jenis juadah. Ada yang menjual nasi berlauk, kuih-muih, kek, roti, murtabak, bermacam jenis air, ayam panggang, otak-otak, mi dan sup serta bermacam-macam jenis lagi. Pendek kata, rambang mata dibuatnya nak pilih yang mana satu. Di Kubang Kerian ni, terdapat dua tapak bazar yang boleh dikatakan agak berdekatan juga. Satu di hadapan Hospital USM dan yang satu lagi di hadapan Pasar Besar Kubang Kerian.

Apa yang menarik minat saya untuk menulis kali ini ialah antaranya tentang kuih-muih tradisional Kelantan yang semakin lama semakin mahal. Antaranya kuih nekbat, akok, buah tanjung dan jala emas. Macam manalah tak mahal... dahlah harga gula naik, minyak naik, gas naik, santan naik... Hmm... mengeluh jugalah dibuatnya. Rasa-rasanya dua tiga tahun lagi, boleh lagi ke jumpa kuih akok? Lama-lama boleh pupus kuih tradisi kita yang sangat sedap ini. Jika tahun lepas harga kuih akok kecil untuk 3 biji adalah RM 1, tetapi tahun ini dengan RM 1, hanya dapat 2 biji akok sahaja. Mujurlah mak mentua saya berniaga kuih akok, tak payah susah-susah nak beli. Mesti ada lebihan jualan yang akan dihulurkan pada kami sekeluarga. He.. he.. terima kasih umi...

Oleh kerana saya ni orang baru dalam tapak bazar ni, agak segan juga bila berhadapan dengan peniaga-peniaga otai yang dah bertahun-tahun berkecimpung dalam bidang ini. Kebanyakan mereka adalah peniaga pasar malam atau pasar tani dan ada juga yang sudah memiliki premis perniagaan sendiri, tetapi menutup kedai kerana ingin mengambil peluang berniaga di bazar Ramadhan. Kebanyakan mereka agak peramah dan masing-masing dilihat mampu memiliki kereta mewah dan rumah yang besar.

Apa yang menarik perhatian saya ialah apabila azan maghrib berkumandang menandakan masuk waktu berbuka, lebihan jualan yang tidak habis dijual akan dibahagi-bahagikan sesama peniaga yang lain sebagai tanda sedekah. Kami akan bertukar-tukar juadah sama ada makanan atau minuman. Ada juga lebihan tersebut disedekahkan ke masjid atau surau sebagai jamuan moreh selepas terawih.

Demikianlah serba sedikit pengalaman yang dapat dikongsi dengan anda semua. Hari-hari menunggu sama ada laris ke tidak jualan hari itu. Hanya DUIT - Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakkal menjadi bekalan harian. Lainlah kalau makan gaji, mesti hujung bulan dapat "duit" punya. Kan?...

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak...!

Sunday, July 24, 2011

Kelantan Cheng Ho International Food Festival (KELCHEFF 2011)


KELCHEFF 2011 telah diadakan pada 14-23 Julai 2011 bertempat di Bazar Tok Guru, Kota Bharu, Kelantan. Sangat meriah. Selain negara China, negara lain yang turut serta dalam pameran dan demonstrasi masakan tersebut adalah Kemboja, Thailand, Iran dan Palestin. Demonstrasi membuat mee tarik oleh saudara muslim dari Xinjiang sgt mengujakan. Nampak mudah tapi tentunya memerlukan kemahiran yang tinggi untuk membuatnya. Kan?

Melangkah masuk sahaja ke ruang pameran, ucapan salam dihulur oleh dua penyambut tetamu muslimah yang lengkap berpakaian t-shirt seragam tertulis "ikhlas membantu". Setiap booth yang menempatkan para peserta dari negara luar akan terdapat dua atau tiga orang wakil muslimah yang membantu menjual hasil produk para peserta. Mungkin untuk memudahkan komunikasi dengan pelanggan. Tapi kebanyakan peserta dari Xinjiang nampaknya sudah boleh berbahasa melayu sikit-sikit, walaupun tidak lancar. Contohnya " nak daging ke ayam?, nak mee satu?". Agaknya diaorang ni dah training awal-awal agaknya.

Walaupun harga makanan yang dijual agak mahal, tetapi para pengunjung tidak melepaskan peluang menghulurkan duit di poket dengan rela hati untuk membeli produk yang belum pernah dirasa oleh anak tekak masing-masing. Contohnya, sate kambing tanpa sebarang rempah dijual degnan harga RM2.50 secucuk. Yang paling murah cuma air minuman yang berharga RM1. Mee tarik antara RM7 - RM8 sebekas polisterin. Pulut dengan taburan kurma, kismis dan biji-bijian yang tanpa rasa masin atau manis harganya RM5 sebekas. Rasanya kalau pulut tu di"renovate" oleh puak Kelantan, mesti jadi sedap dengan ditambah santan, garam dan gula sedikit. Agaknya memang orang Xinjiang tak guna sangat MSG, garam atau gula dalam masakan diaorang. Sebab rasa masakannya natural... rasa semulajadi... agak tawar serba serbi. He he... (Ini adalah komen anak tekak sendiri nampaknya...)

Para peserta dari negara sendiri pun tidak kurang ramainya. Ada yang jual laksa penang, kuih raya, coklat homemade, ubat-ubatan dan herba, nasi ayam hainan, keropok, kerepek, aksesori wanita, baju, servis cetak gambar, cetakan di baju dan macam-macam lagilah. Naik lenguh kaki nak berjalan pusing keliling.

Walaupun isu Bazar Tok Guru hangat diperkatakan masa ini di media-media massa, nampaknya rakyat Kelantan sendiri tidak ambil pusing. Banyak ruang-ruang niaga di bazar ini yang telah mula beroperasi. Isu Bazar Tok Guru hanya Tok Guru, Kerabat Diraja dan rakyat Kelantan sejati shj yg tahu ceritanya... Jgn tanya ambo, ambo sendiri kurang pasti sebab ambo bukan anak jati kelahiran Cik Siti Wan Kembang ini adanya... hmmmm....

Sunday, July 17, 2011

Sindrom Apam Polkadot & Sindrom Manik


Oleh kerana semenjak dua menjak ini idea untuk menulis mencurah2 (kononnya...), saya ingin berkongsi pula dengan sedara sedari tentang senario "sindrom apam polkadot & sindrom manik" yang sedang melanda di negeri ini (pastinya di seluruh M'sia juga). Kebanyakan yang berkecimpung dalam bidang ini adalah wanita. Perangai orang pompuan... suka yang cantik-cantik sama ada dalam makanan atau pada pakaian. Walaupun kuih @ kek yang dihias cantik bukannya nak sangat dimakan, tapi asalkan cantik dia buat jugak, dia nak beli jugak.

Begitu juga halnya sekarang ini, jika diperhatikan ramai usahawan wanita apabila muncul satu produk baru seperti apam yang ada dot-dot (polkadot), ramai yang cuba meniru dan ramai yang ingin menjualnya. Apam dengan warna-warna yang berbintik-bintik yang mempunyai inti sama ada strawberi, bluberri dsbnya baru-baru ini memenuhi ruangan iklan contohnya iklan di www.mudah.my. Ada yang letak harga RM30 / 100 biji dan ada juga RM40 / 100 biji.

Manakala sindrom manik pula memerlukan kemahiran dan kreativiti sendiri untuk menghasilkan corak manik yang cantik dan menarik. Maka al-kisahnya banyaklah persatuan-persatuan, kelab-kelab dan ada juga orang perseorangan yang menawarkan kursus-kursus yang berkenaan dengan manik memanik ini di seluruh negara. Yuran kursus ada yg RM300, ada yang RM250 dan ada juga yang cuma ambil RM150 sahaja. Maka ramailah wanita-wanita kita yang pergi kursus tersebut dengan harapan dapatlah menambahkan pendapatan keluarga masing2.

Kebiasaannya apabila kita semakin menghampiri hari lebaran, maka permintaan kepada sulaman manik bertambah. Banyak butik-butik di Kelantan sendiri yang kekurangan tenaga menyulam manik. Maka para pembantu butik sambilan amat diperlukan pada waktu-waktu begini.

Bagi wanita yang memang meminati bidang ini dan ada kreatviti tinggi, tidak kira sama ada dekat nak raya ke, hari-hari biasa ke memang kerja dia tak boleh berenggang dengan manik. Tapi bagi mereka yang cuma ada "angin" sekejap minat, sekejap penat, sekejap tak larat, maka usahanya tidak akan ke mana.

Dunia internet sekarang ini memudahkan kita utk mempelajari banyak perkara. Jika anda takde duit nak pergi kursus-kursus seperti itu, cari & pelajari sahaja dari internet. Jika anda ke www.youtube.com, di sana anda boleh belajar cara sulam manik, cara buat aksesori wanita, cara masak memasak dan macam-macam lagi. Sekiranya anda dapati laman web di M'sia agak kedekut untuk berkongsi ilmu-ilmu seperti itu, maka anda boleh melawat laman web dari Indonesia @ negara orang putih seperti Amerika. Orang putih biasanya tidak lokek berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja. Tak macam di negara kita ni, nak belajar buat cakoi pun kena bayar RM1000... takut sangat orang tiru resepi dia...

Begitulah ceritanya... sindrom apam polkadot dan sindrom manik... bila raya pakai baju penuh manik sambil makan apam polkadot bintik-bintik mesti meriah... Kan? Ha.. ha..

Saturday, July 16, 2011

Penting Sangat Ke "Business Card" ?


Apabila anda memasuki arena dunia usahawan, antara persediaan awal dlm mempromosikan perniagaan anda adalah melalui "bisnes kad". Walaupun ianya kecil, simple, nampak macam takde apa-apa, tapi jangan ambil mudah dengan alat yang paling comel tapi paling berbisa bila berdepan dengan "mangsa" (bakal pelanggan) kita.

Sekeping "bisnes kad" yang lengkap perlu tertera:
1. Nama Syarikat serta no. pendaftaran
2. Nama Anda berserta jawatan
3. No. Telefon / hp
4. No. Fax
5. Alamat Syarikat (tidak semestinya)
6. Alamat laman web
7. Alamat email
8. PRODUK YG DIJUAL / SERVIS YG DITAWARKAN

Ayat dalam "bisnes kad" mesti menggunakan ayat yang "POWER". Jangan gunakan ayat yang biasa-biasa sahaja.
Contohnya jika anda menyediakan perkhidmatan membaikpulih komputer...
Ayat Biasa : "Kami menyediakan perkhidmatan baikpulih komputer, laptop dan printer"
Tukarkan kepada ayat yang lebih "POWER"!
"KAMI PAKAR DALAM MEMBAIKPULIH KOMPUTER, LAPTOP DAN PRINTER. ANDA DIJAMIN PUAS HATI DENGAN SETIAP SERVIS KAMI"

Haaa... adakah anda berani menggunakan ayat power seperti di atas? Contoh yang lain pula sekiranya anda seorang surirumah yang mengusahakan kuih bahulu. Walaupun hanya bekerja dari rumah, bisnes kad amat penting dalam melebarkan sayap perniagaan kuih bahulu anda apabila berjumpa kenalan di mana-mana. Ayat power yang sesuai untuk bisnes kad anda contohnya : "KAMI PAKAR DLM MEMBUAT BAHULU IKAN, BAHULU CERMAI DAN BAHULU KEMBOJA"

Ayat yang power melambangkan keyakinan anda terhadap produk atau servis anda. Manakala bagi pelanggan pula, ayat yang power menambahkan keyakinan mereka untuk melanggan dgn anda.

Berikut adalah tatacara yang perlu anda ikuti jika anda ada bisnes kad:
1. Tunggu sehingga diminta baru hulurkan bisnes kad anda. Jgn terburu-buru menghulur.
2. Berikan kepada mereka yang dirasakan perlu, bukan kepada semua orang yang anda jumpa.
3. Jangan beri lebih dari sekeping kerana tentu mereka fikir anda mengharap mereka untuk promosikan kepada orang lain.
4. Kalau boleh simpan kad anda di tempat yang khas seperti kotak bisnes kad. Dan simpan bisnes kad orang lain dalam album bisnes kad yang khas.
5. Sentiasa sediakan bisnes kad dlm beg atau poket anda. Tapi hanya 2 @ 3 keping sahaja untuk satu-satu masa.

Bayangkan jika anda menemui pelanggan yang "berpotensi" dalam bisnes anda. Di akhir perbincangan dia bertanya "Syarikat encik kat mana?, No. telefon berapa? Ada laman web tak?" Adakah anda akan mencari-cari pen dan kertas untuk menulis butiran yang dia kehendaki pada masa itu? Atau anda terus menghulurkan "bisnes kad" anda dengan ayat yang "power" dan ilustrasi yang menarik kepadanya?

Fikirkanlah... betapa besarnya kepentingan sekeping kad kecil yang bernama "bisnes kad"...

Jumpa lagi...

Tuesday, May 3, 2011

Usahawan Kosmetik Yusmira Trd vs Vida Beauty


Sekarang ni, radio Kelantan fm menjadi media utama para usahawan di Kelantan mempromosikan produk-produk mereka. Hari-hari akan kedengaran iklan2 tentang kosmetik, ubat-ubatan, makanan kesihatan dan macam-macam lagilah. Ada yang guna lagu dikir, lagu hindustan yang diubahsuai, suara tok dalang wayang kulit dan ada juga yang guna suara DJ radio suruh baca tentang iklan mereka. Boleh tabik kat diaorang ni, kreatif sungguh.

Apa yg menarik minat saya untuk menulis kali ini ialah, berdasarkan pemerhatian saya sendiri (ehem..), ada dua nama besar yang sangat berpengaruh dan nampak sangat bersaing dalam bidang memasarkan produk kosmetik di Kelantan ini. Iaitu Yusmira Trading dgn Vida Beauty. Yusmira memainkan peranan yang sangat besar dalam menyemarakkan sukan bola sepak Kelantan (The Red Warrior). Dialah penaja rasmi pasukan TRW ini. Pengasasnya Dato' Azlan dan isterinya Dato' Yusmira. Selain terkenal dengan kosmetik berasaskan halia, Yusmira Trdg juga sekarang sedang sohor dengan produk kopi papan. Kalau tak silap ada 12 jenis kopi yang dikeluarkan. Kopi walit, kopi stamina, halia bara, susu kambing dan macam-macam lagilah. Iklan Yusmira tak kira masa. Pagi, petang, siang, malam. Semua DJ kena baca apa yang Yusmira tulis tentang produk mereka. Selain membaca iklan, ada juga iklan berlagu ala dikir. Kalau nak kira, memang sohor sangatlah Yusmira ni seantero Kelantan...

Pesaing rapat Yusmira iaitu Vida Beauty, lain pula ceritanya. Produk terkenalnya "pamoga" yang berasaskan buah delima dan gamat, sangat-sangat meletup sekarang ini, walaupun baru sebulan dua sahaja masuk dalam iklan radio. Sungguhpun harganya agak mahal (RM168) sebotol, para pendengar sangat terpengaruh dengan produknya kerana ia dikatakan dapat merawat sebarang jenis penyakit. Sakit lutut, katarak, resdung, tak boleh jalan, sakit sendi dan sebagainyalah. Orang kata semua penyakit boleh guna pamoga sebagai makanan kesihatan. Kebanyakan makcik pakcik yang dengar sangat berpuas hati dengan keberkesanan produk Vida. Nak kulit comel, nak kurus semua boleh makan pamoga.

Ada suatu masa, Yusmira kata "toksah lah terpedaya beli sejenis produk yang boleh rawat semua penyakit, padahal barang murah tapi jual mahal".
Yusmira kata lagi "kita tak naklah puji kapal yang kita buat sendiri, biarlah orang lain yang puji."
Vida pulak balas dalam iklannya "kita bukan nak puji produk kita sendiri, dah orang lain yang bagitau ianya berkesan, nak buat macam mana? Kita kena bagitaulah apa yang orang dah cakap tentang produk kita".

Begitulah lebih kurangnya, kadang dengan adanya pesaing dalam pasaran, kita rasa tergugat. Jadi, otak usahawan yang bijak akan ligat berfikir macam mana nak "fight" dengan pesaing ni. Sama ada nak tambah produk baru atau luaskan pasaran ke tempat-tempat yang kurang pesaing.

Seperti Dr. Azizan Osman kata, antara 80% - 90% kejayaan sesuatu perniagaan adalah melalui pemasaran. Ini termasuklah iklan sama ada di radio, tv, akhbar dan sebagainya. Jika kita hanya pandai buat produk, tapi org tak tahu kita ada jual produk tersebut, maka "berdosalah" kita kerana mungkin ianya untuk manfaat ummah, tapi kita tidak war-warkannya kepada orang lain yang mungkin sangat-sangat memerlukan produk kita itu.

Sekian kali ini, wassalam.

Nota : Sehingga 26 Ogos 2011 ini, Yusmira telah berjaya mengeluarkan lebih 19 jenis kopi papan. Manakala Vida Beauty pula telah mula muncul di kaca TV dengan produk sohornya Pamoga.