Sunday, August 28, 2011

UJIAN OH! UJIAN...




Bertemu kembali semua... Tinggal sehari dua lagi nak raya, tapi saya masih lagi berkesempatan untuk menulis. Maklumlah dulu ada juga pasang cita-cita untuk jadi penulis novel atau cerpen, tapi tidak termakbul. Namun begitu, menjadi salah seorang dari jutaan penulis blog di alam maya ini sudah cukup memberi keseronokan kepada saya untuk berkongsi penulisan dengan anda semua.

Hari ini hari terakhir saya berniaga di bazar Ramadhan. Walaupun masih ada sehari lagi peluang berniaga sebelum hari raya, kami "off" lebih awal untuk membuat persiapan raya. Khabarnya lebih kurang separuh dari 160 tapak gerai dijangkakan kosong esok hari. Masing-masing ada perancangan sendiri... Nak balik kampunglah, nak buat kuihlah, nak beli itu dan inilah, macam-macam lagilah....

Hari ini sahaja suku dari tapak gerai sudah ditutup. Sebaik kami sampai ke tapak bazar, langit mula "memendungkan" dirinya dengan semendung-mendungnya. Gelap macam nak malam walaupun masa tu baru je pukul 4.00 petang. Sebaik sahaja beberapa pembeli dari gerai kami beredar, hujan lebat bercampur ribut pun turun. Masing-masing peniaga merendahkan payung mereka dan memegang kemas batang khemah masing-masing kerana takut diterbangkan angin kuat. Detik cemas itu benar-benar menguji keimanan kami. Takut tragedi yang pernah berlaku di tempat lain yang meragut nyawa terjadi hari ini. Mulut terkumat-kamit memanjat doa pada Ilahi moga ianya berakhir dengan baik.

Hujan ribut melanda lebih kurang 10 - 15 minit. Para pembeli melarikan diri mencari perlindungan di tepi-tepi bangunan berhampiran sambil memerhatikan kami yang kelam-kabut berlindung di bawah payung dan khemah masing-masing. Malang tidak berbau... ada juga payung dan khemah peniaga lain yang tidak sempat dipegang diterbangkan angin kuat. Habis makanan yang baru dimasak dan diatur di atas meja jatuh tumpah dan bertaburan ke tanah. Seorang pembantu gerai tersebut tersimbah minyak panas di kakinya. Kami simpati melihatkan nasib peniaga terbabit. Sebaik sahaja hujan beransur reda, saya menghampiri peniaga wanita tersebut dan memulangkan tong airnya yang terbang ke gerai saya. Katanya, nak buat macam mana, dah bukan rezeki dia hari itu (sambil mengemas semua barang-barangnya ke dalam kereta untuk pulang). Tanpa sedikit pun rasa putus asa, katanya esok dia tetap akan meneruskan perniagaannya semula. Tabahnya dia demi mencari rezeki untuk anak-anak dan keluarga. Adakah aku mampu setabah dirinya....? Moga-moga begitulah.... Amin...

Namun sebaik sahaja hujan berhenti, para pembeli mula turun semula dan datang tidak putus-putus untuk membeli juadah berbuka puasa. Penebar murtabak kami tidak henti-henti menebar. Boleh dikatakan kebanyakan gerai habis licin jualan mereka hari itu. Seronok campur letih campur syukur pada Ilahi yang telah memudahkan setiap urusan kami.

"Sesungguhnya bersama kesulitan datang kelapangan. Sesungguhnya bersama kesulitan datang keringanan." (Surah al-Insyirah ayat 5 - 6)

Nota : Gambar di atas adalah situasi yang berlaku di kawasan lain. Saya tak dapat nak ambil gambar kejadian hari ini kerana tertinggal kamera.

No comments:

Post a Comment