Saturday, August 6, 2011

Bazar Ramadhan Kembali Lagi...!


Alhamdulillah bertemu juga kita dengan Ramadhan al-Mubarak 1432H. Semoga terus dipanjangkan umur untuk sampai ke penghujung bulan mulia ini. Pengalaman pertama berniaga di bazar Ramadhan sangat menyeronokkan. Walaupun tahun ini yuran tapak bazar rata-ratanya telah meningkat berbanding tahun lepas, namun begitu ia tidak menjadi halangan bagi para peniaga untuk mendapatkan tapak masing-masing.

Ada lebih kurang 160 tapak gerai disediakan oleh pihak penganjur di kawasan saya. Pada hari pertama, kebanyakan tapak gerai boleh dikatakan penuh dengan peniaga yang menjual bermacam-macam jenis juadah. Ada yang menjual nasi berlauk, kuih-muih, kek, roti, murtabak, bermacam jenis air, ayam panggang, otak-otak, mi dan sup serta bermacam-macam jenis lagi. Pendek kata, rambang mata dibuatnya nak pilih yang mana satu. Di Kubang Kerian ni, terdapat dua tapak bazar yang boleh dikatakan agak berdekatan juga. Satu di hadapan Hospital USM dan yang satu lagi di hadapan Pasar Besar Kubang Kerian.

Apa yang menarik minat saya untuk menulis kali ini ialah antaranya tentang kuih-muih tradisional Kelantan yang semakin lama semakin mahal. Antaranya kuih nekbat, akok, buah tanjung dan jala emas. Macam manalah tak mahal... dahlah harga gula naik, minyak naik, gas naik, santan naik... Hmm... mengeluh jugalah dibuatnya. Rasa-rasanya dua tiga tahun lagi, boleh lagi ke jumpa kuih akok? Lama-lama boleh pupus kuih tradisi kita yang sangat sedap ini. Jika tahun lepas harga kuih akok kecil untuk 3 biji adalah RM 1, tetapi tahun ini dengan RM 1, hanya dapat 2 biji akok sahaja. Mujurlah mak mentua saya berniaga kuih akok, tak payah susah-susah nak beli. Mesti ada lebihan jualan yang akan dihulurkan pada kami sekeluarga. He.. he.. terima kasih umi...

Oleh kerana saya ni orang baru dalam tapak bazar ni, agak segan juga bila berhadapan dengan peniaga-peniaga otai yang dah bertahun-tahun berkecimpung dalam bidang ini. Kebanyakan mereka adalah peniaga pasar malam atau pasar tani dan ada juga yang sudah memiliki premis perniagaan sendiri, tetapi menutup kedai kerana ingin mengambil peluang berniaga di bazar Ramadhan. Kebanyakan mereka agak peramah dan masing-masing dilihat mampu memiliki kereta mewah dan rumah yang besar.

Apa yang menarik perhatian saya ialah apabila azan maghrib berkumandang menandakan masuk waktu berbuka, lebihan jualan yang tidak habis dijual akan dibahagi-bahagikan sesama peniaga yang lain sebagai tanda sedekah. Kami akan bertukar-tukar juadah sama ada makanan atau minuman. Ada juga lebihan tersebut disedekahkan ke masjid atau surau sebagai jamuan moreh selepas terawih.

Demikianlah serba sedikit pengalaman yang dapat dikongsi dengan anda semua. Hari-hari menunggu sama ada laris ke tidak jualan hari itu. Hanya DUIT - Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakkal menjadi bekalan harian. Lainlah kalau makan gaji, mesti hujung bulan dapat "duit" punya. Kan?...

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak...!

No comments:

Post a Comment