Tuesday, October 25, 2011

Teknik Peniaga Cina Memasuki Pasaran Kelantan

Rasa terpanggil pulak hari ini untuk menulis tentang bagaimana teknik para peniaga Cina untuk memasuki pasaran di negeri Cik Siti Wan Kembang ini yang majoritinya kaum Melayu. Sungguhpun majoriti orang Melayu kita menjadi peniaga, tidak bermakna kaum Cina tercicir dalam hal ini. Malah sebenarnya mereka inilah yang kebanyakannya menjadi pemborong besar dalam membekalkan barang-barang kepada peniaga-peniaga Melayu kita.

Secara kasarnya dapat dilihat bahawa kaum Cina lebih suka menjadi pemborong atau pembekal berbanding kaum Melayu kita yang suka menjadi peruncit. Ini mungkin disebabkan oleh kekuatan modal yang dimiliki oleh kedua-dua kaum. Kaum Cina sanggup membuat pelaburan besar di negeri ini kerana dikatakan bahawa kuasa beli di Kelantan adalah lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Antara teknik yang digunakan oleh kaum Cina ini ialah antaranya dengan mengeluarkan produk tertentu contohnya produk makanan dengan nama Melayu atau dengan menggunakan cap-cap yag melambangkan kemelayuan kita seperti kubah masjid dan sebagainya. Terdapat juga pasar raya yang diberi nama Pasar raya Bilal yang terletak berdekatan dengan masjid besar di Kubang Kerian. Jika orang dari luar Kelantan lihat, pasti mereka ingat ia adalah milik kariah masjid berdekatan. Walhal ia adalah milik kaum Cina sebenarnya. Jika anda ingin tahu,tapak pasar raya tersebut dahulunya adalah tapak sebuah kilang yang telah bertahun-tahun ditinggalkan dan menjadi semak-samun sebelum itu. Sungguh terang penglihatan mereka ini hinggakan orang Melayu tidak nampak keistimewaan yang ada pada tapak kilang lama itu.

Jika anda pergi ke mana-mana kedai roti pula, anda akan perhatikan ramai anak-anak gadis Melayu kita yang bekerja di sana. Mereka menguli, membakar, membuat kek dan biskut tetapi adakah anda tahu, bahawa kebanyakan kedai-kedai roti ini juga dimiliki oleh kaum Cina tetapi mengambil pekerja Melayu untuk melariskan jualan mereka. Jika kita kata "Boleh jumpa tauke ke?" Mesti yang keluar orang Melayu tapi tauke yang sebenarnya duk belakang kedai tak mahu dikenali oleh sesiapa.

Terdapat juga kedai-kedai makan Cina yang menggunakan pekerja Melayu dan mengambil tempahan makanan sama ada nasi dan gulai-gulai daripada orang Melayu sendiri untuk dijual di kedai makan mereka. Maknanya, kedai saja kepunyaan Cina tetapi di uruskan oleh orang Melayu kita. Kalau nak tahu, carilah kedai-kedai makan yang ada di sekitar Kota Bharu ini.

Begitulah lebih kurangnya serba sedikit info untuk dikongsi bersama... Lain kali kita cerita lagi deh?...

No comments:

Post a Comment