Sunday, August 14, 2011

Cerita : Idea-idea Perniagaan Yang Menarik


Kali ini, saya ingin berkongsi cerita tentang beberapa idea bisnes yang boleh dijadikan contoh untuk kita semua...
Cerita 1:

Ini kisah Mak Som seorang penjaja. Umurnya lebih kurang dalam 50an. Beliau masih gagah ke sana ke mari berjalan kaki keliling kampung sambil membawa sebuah bakul yang penuh berisi bermacam jenis kuih dan lauk yang siap dibungkus untuk dijual. Ada solok lada, acar timun, acar pisang, wajik, onde-onde dan ketupat palas. Semuanya dibuat sendiri dan produknya sememangnya boleh dipuji. Dalam seminggu, dua atau tiga kali saya pasti akan bertemu dengannya. Sudah banyak tahun juga dia menjadi penjaja. Katanya dia akan membawa lebih kurang 50 bungkus jualan sahaja untuk sehari dan setiap satu akan dijual dengan harga RM2.00.

Ini bermakna Mak Som akan mendapat hasil jualan sebanyak RM100 jika semuanya habis dijual. Katanya lagi dengan hasil jualan sebanyak itu, dia dapat keuntungan bersih setelah ditolak modal sebanyak RM50. Dengan usaha gigihnya itu juga katanya dia berupaya membelikan dua buah motosikal untuk anak-anaknya. Dia juga berupaya untuk membayar balik duit yang dipinjam dari Amanah Ikhtiar setiap minggu. Sehinggakan suaminya sendiri terkejut dengan apa yang diusahakan oleh isterinya itu...

Cerita 2:

Ini pula kisah Kak Mah yang sangat saya kagumi. Dia bagaikan seorang sifu pada saya. Sejak kecil lagi dia telah didedahkan dengan dunia perniagaan oleh keluarganya. Pernah suatu masa, ketika itu umurnya dalam 11 tahun. Perniagaan kedai makan keluarganya ketiadaan tukang masak. Jadi bagi meneruskan juga perniagaan hari itu, Kak Mah diminta untuk memasak (masakan panas) untuk para pelanggan. Perasaan cemas dan berdebar bercampur baur. Maklumlah tidak mempunyai pengalaman memasak untuk orang lain, tapi kalau setakat untuk makan sendiri memang tidak ada masalah.

Hendak dijadikan cerita, masakan Kak Mah dapat diterima pelanggan. Nasib baik dia masak di dapur belakang. Kalau masak di depan kedai, pasti orang tak mahu makan katanya. Sehingga kini, Kak Mah sudah mempunyai pengalaman berniaga lebih kurang 20 tahun lebih. Dia mempunyai kepakaran dalam banyak bidang. Sama ada masakan panas, nasi campur, makanan sejuk beku (frozen food), pembuatan kek dan biskut, pembuatan coklat, roti jala, popiah basah, bidang jahitan baju dan langsir juga sulaman manik. Sekarang ini, dia menghadiri beberapa kursus untuk membolehkannya menjadi sebahagian dari tenaga pengajar yang bertauliah. Tabiklah kat Kak Mah...

Cerita 3:

Ini pula kisah seorang peniaga yang saya namakan En. A. (sebab tak tau namanya). Dia seorang lulusan diploma dari sebuah IPTA. Dahulunya pernah bekerja di ibu kota Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun, oleh kerana tidak dapat bertahan lama dengan masalah sosial di sana, dia kemudian kembali ke kampung halaman dan mengusahakan perniagaan dari rumah sahaja. Nak tau apa yang diusahakannya? Dia telah menghasilkan produk "garam kunyit" yang lain dari yang lain dan diedarkan kemerata kedai runcit selain kawasan sekitar. Garam kunyit yang dihasilkan sesuai untuk perapan ayam atau ikan sebelum digoreng. Bahan lain yang digunakan ialah halia dan serai serta beberapa bahan lain.

Kini dia masih meneruskan perniagaannya itu. Ramai lagi orang-orang kampung di sekitar kawasan saya ini yang berniaga dari rumah. Ada yang mengusahakan serunding ikan dan daging, ada yang meyewakan khemah kanopi untuk majlis-majlis, ada yang membuat kek coklat, ada yang menjadi pelukis batik, ada yang menjual popiah mini, ada yang menjadi tukang besi dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, kalau mana-mana graduan yang tak dapat kerja makan gaji, banyak bidang bisnes yang boleh kita ceburi, asalkan sahaja ada usaha, sedikit modal dan sokongan padu dari keluarga terdekat (amat-amat diperlukan).

Hari esok, seorang kawan memerlukan tenaga kami untuk urusan katering dengan pihak USM. Katanya inilah projek pertamanya yang terbesar kerana perlu menyediakan masakan untuk 300 orang staf di sana. Biasanya projek yang pertama akan menjadi penentu untuk mendapat peluang yang kedua. Apa-apa pun didoakan "SEMOGA BERJAYA". He he...

No comments:

Post a Comment