Tuesday, September 6, 2011

Mak Oii! Banyaknya Homestay...!


Salam Aidilfitri semua... Masih ada lagi saki-baki kuih raya? Kalau tak habis, usah membazir... simpan dulu sehingga raya Haji nanti. Barang boleh tahan lama dan tak mudah basi, apa salahnya disimpan lagi. Kan? Biasanya orang Kelantan di sini, selain menyambut Aidilfitri setelah sebulan berpuasa, mereka akan menyambut raya yang kedua iaitu selepas habis puasa enam hari di bulan Syawal. Siap buat rumah terbuka dan panggil saudara-mara lagi. Macam-macam juadah dihidangkan. Kekadang ada yang buat nasi minyak, nasi dagang, nasi hujan panas, nasi himpit, kuih-muih dan macam-macam lagilah.

Sempena menyambut sebulan Syawal ini juga, tidak kurang yang mengadakan majlis kenduri-kendara dan menyambut menantu. Maka mana-mana pasangan yang mendapat jodohnya di luar dari negeri Kelantan ini, adalah menjadi kebiasaan akan menginap sehari dua di sini bersama rombongan di rumah-rumah tumpangan yang berdekatan. Bagi mereka yang sudah biasa ke sini, mereka akan mendapati tidak susah untuk mencari rumah penginapan seperti "guesthouse" atau "homestay". Sebagai contoh di Kubang Kerian ini sahaja, anda akan dapati sepanjang laluan anda untuk ke USM atau ke Kota Bharu, ada sahaja papan tanda "homestay" atau "guesthouse" di kiri kanan jalan. Anda boleh pilih mana satu yang berkenan di hati. Kalau nak dikira, mungkin lebih dari dua puluh rumah tumpangan yang ada di sini. Itu belum termasuk hotel-hotel bajet yang murah yang kebanyakannya mengambil tempat di dalam bangunan-bangunan kedai dua tingkat.

Oleh kerana kebanyakan warga Kelantan ini suka berhijrah dan berdagang ke negeri-negeri luar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan sebagainya maka banyaklah terdapat rumah-rumah di kampung halaman mereka yang terbiar dan tidak berpenghuni. Maka bagi memanfaatkan rumah warisan yang ada, mereka mengambil peluang dengan memperbaiki dan menghias semula rumah tersebut untuk dijadikan rumah tumpangan. Rumah tumpangan yang lengkap biasanya menyediakan katil dan tilam yang cukup, alat elektrik asas seperti cerek elektrik, mesin basuh, peti sejuk dan TV. Ada juga yang baik hati menyediakan kopi atau teh serta gula di ruang dapurnya. Berbanding memberi sewa secara bulanan, menyewakan rumah secara harian didapati lebih menguntungkan. Berikut antara kelebihan apabila rumah anda dijadikan "homestay":-

1. Sewa "homestay" sehari biasanya antara RM 100 - RM 300. Berbanding dengan sewa rumah sebulan RM 350.

2. Kita masih bebas keluar masuk rumah "homestay" kita bila-bila masa berbanding jika kita menyewakan pada orang lain secara bulanan (mesti kita tak boleh nak mengintai walau sikit pun...)

3. Risiko penyewa "homestay" untuk tidak membayar sewa adalah rendah berbanding penyewa rumah yang selalu kita dengar tak boleh nak bayar kadang tu sampa tiga bulan. Padahal sewa sebulan cuma RM300.

4. Walaupun kemungkinan hanya tiga orang sahaja yang akan menyewa "homestay" kita dalam sebulan, jika sewa yang kita kenakan RM150, maka jadinya (RM 150 X 3) = RM 450.00. Ini sudah dikira untung dan semestinya sudah terbayar bil elektrik dan air yang digunakan cuma tiga hari sahaja oleh tiga orang penyewa tadi.

5. Risiko kerosakan rumah "homestay" adalah rendah. Contohnya risiko diconteng, buat pendawaian haram, memaku dinding, menampal gambar dan sebagainya. Berbanding jika rumah disewa secara bulan-bulan, mesti ada paku sana, paku sini, conteng sana, conteng sini...

Itulah antara kelebihan jika anda ada "homestay". Walaupun anda perlu mengeluarkan modal yang lebih untuk permulaan, tetapi hasilnya lebih memuaskan dan menguntungkan berbanding memberi sewa secara bulan-bulan. Tapi kalau dah semua rumah sewa tu jadi "homestay", mesti banyak pulak persaingannya kan?

Ada "homestay" yang letaknya di hujung-hujung kampung. Lagi seronok kalau dapat pergi kat situ. Dapat dengar kicauan burung, duduk rumah kampung, siap boleh buat perkhemahan lagi. Kelassss gitu...

No comments:

Post a Comment